Sunday, January 07, 2007

Camar Yang Pulang

Bermusim ku tinggalkan pelabuhan..
Layari hidup sendirian...
Kembali ku mencari fajar suci
Mengisi sepi hati ini...

Seperti camar pulang kepangkuan
Merindu kedamaian dulu
Begitu harapanku terhadapmu
Semoga kasih belum layu...

Di hati ini sering melagukan rindu..
Senyum tangismu dimataku...
Andai waktu bisa menemukan semula
Akan ku bina kasih dulu bersamamu

Siapa yang menduga segalanya
Suratan takdir Maha Esa
Sepintas ku temui senyumanmu
Memberi daku sinar baru..

Ciptaan: Adnan Abu Hassan
Lirik: Amran Omar
Penyanyi: Aishah
(c) 1990 Sony Music Entertainment Sdn Bhd

Tentu ada yang bertanya kenapa perlu lirik lagu Aishah ini mengisi mukadimah bingkisan kali ini? Hmm bukan 'commercial break' ataupun sekadar 'iklan' tetapi inilah yang lagu pertama yang bakal mengisi bingkisan komen lagu dan lirik kali ini. Jadi untuk lagu pertama, aku mulakan dengan lagu yang menjadi single kedua album "Aishah" yang dihasilkan pada tahun 1990 lalu. Dah hampir tujuh belas tahun dah.. tapi mengapa perlu lagu ini? Tak kan tak ada lagu lain? Ada! tapi yang lain akan menyusul beberapa ketika nanti.

Jadi kita mulakan sekarang!!... hmm mula-mula aku nak bagitau kenapa aku memilih lagu ini untuk menjadi lagu pertama siri komen lagu untuk 'blog tercinta' aku ni.. Sebenarnya ia bertitik tolak sejak mendengar lagu ini versi baru dari album Ruth Sahanaya. Mulanya aku tak perasan lagu ni walaupun sejak tahun lepas aku tengok album ini dipasaran. Namun setelah mendengarnya di rumah Nuar minggu lalu hatiku terus tertarik untuk menghayatinya! Versi Ruth lebih R&B dan diperkuat dengan elemen Jazz yang perlahan dan mendayu. Tiupan seruling pada intro nya memang memberikan sedikit kelainan dari versi asal nyanyian Aishah. Apapun yang aku nak komen dalam bingkisan ini adalah versi Aishah iaitu yang aslinya dalam versi pop komersialnya!

Pertama sekali muziknya... intro lagu ini dimulakan dengan petikan piano (programming dari keyboard) yang cukup sinonim dengan lagu-lagu ciptaan Adnan. Rangkap pertama memang mendayu. Melodinya disusun cukup indah. Suara Aishah pula sesuai dengan lagu ini. Waktu aku mula-mula dengar lagu ini, fikiran aku terus melayang mengenangkan memori indah ketika bersama-sama dengan arwah Diana ketika Langkawi. Indah waktu itu. Kami baru berusia lima belas tahun dan pergi bersama-sama 10 orang lagi pelajar lain semata-mata mahu melihat keindahan pulau legenda itu. Entah mengapa melodi dan muziknya sering membuatkan aku terbayang keindahan pantai dan kehijauan bumi ciptaan Allah. Sungguh! hingga kini kalau aku mendengar lagu ini secara langsung ingatan di benak fikiran terus mengingatkan aku pada pantai!

Mungkin ianya membayangkan rangkap kedua... "seperti camar pulang ke pangkuan!" yalah.. mana ada camar selain kat pantai ye tak? Padaku lirik rangkap keduanya membayangkan kehadiran semula seseorang pada kekasih ataupun bekas kekasih ataupun mungkin juga pada keluarga! Mungkin selepas beberapa lama di rantauan (seperti yang dibayangkan pada rangkap pertama) kerinduan pada kemesraan dulu membuatkan kita ingin mengulangi kembali semua yang telah kita lalui. Begitu juga pada aku... rindu pada kenangan lalu. Kenangan zaman persekolahan, di kolej dan juga awal remaja. Memang indah saat itu tanpa perlu memikirkan sangat kepayahan dan jerih perit pada kehidupan sekarang.

Apapun aku teringat pada Lanz bila terus mendengar korus lagu ini. "Di hati ini sering melagukan rindu.. senyum tangismu di mataku..." memang melukakan hati bila seseorang yang kita sayang ataupun rindu sebenarnya sudah jauh pergi. Samada sudah melupakan kita ataupun sudah ke alam baqa. Itu memang kita tidak dapat lari dari hakikat itu. Biasanya cinta aku luput kalau ianya berakhir dengan kekecewaan dan kemarahan. Selalunya yang marah itu akan pergi tinggalkan mereka yang kecewa. Di rangkap korus ini liriknya seolah kecewa dengan apa yang berlaku. Kekecewaan itu yang membuatkan nya sering mengingati kenangan indah yang dulu. Suara Aishah pula lantang membuatkan melodi begitu 'melekat'. Liriknya berikutnya juga membayangkan yang dia mahu menyambung kembali ikatan lama andainya diberikan peluang kedua. Ia bukan saja dapat dibayangkan pada pasangan kekasih tetapi juga pada ibu bapa yang sudah lama ditinggalkan. Mungkin sebelum ini dek kesalahan yang dilakukan, dia membawa diri jauh dirantauan.

Sekali lagi rangkap akhir memberitahu harapannya itu membuahkan hasil lantas dia bersyukur dengan seolah tidak menduga suratan yang telah ditetapkanNya. Dengan senyuman yang terukir dihati insan tersayang yang pernah ditinggalkannya memberikan ia satu sinar bahawa segala harapan bukan lagi impian. Ianya sudah menjadi kenyataan. Muzik 'bridge' nya digubah hebat dengan tiupan saksafon yang menarik. Juga suara latar yang membuatkan garapan muzik lagu ini memang bagus. Lagipun ketika lagu ini dihasilkan tahun 1990 kebanyakan muzik lagu ketika itu masih dipengaruhi muzik 80an. Namun susunan muzik lagu ini sudah membayangkan 'era' baru tahun 90an. Apapun ending lagu ini juga begitu menyentuh hati kerana kesyahduan suara latarnya. Syabas buat Adnan, Amran dan Aishah. Gabungan 3A memang membuahkan hasil. Cuma lagu ini sedikit terpinggir dek penangan lagu "Janji Manismu" yang menjadi single paling meletup dalam album 'Aishah' ini. Aku pasti kalau tiada lagu 'Janji Manismu' lagu ini juga layak digelar lagu terbaik di Anugerah Juara Lagu 1990.

Akhirkata selepas lagu hebat ini kehebatan Aishah diteruskan dengan lagu-lagu seperti Kasih Kita, Cinta Beralih Arah, Merenung Bulan, Selanjur Bercinta, Antara Cinta Dan Kasih, Melukut Di Tepi Gantang dan yang terbaru Kurnia dan Semuanya Keranamu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home