Juara Lagu 2006
Bertemu kembali.. edisi khas Juara Lagu..
Juara Lagu memasukki tahun ke 21 tahun 2006 lalu. Pelbagai spekulasi dan kontroversi tahun dari segi penilaian pihak juri bermula bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif (IM/EK) hinggalah ke kategori Pop Rock yang berlangsung 15 Disember lalu. Pada aku tidak ada apa-apa yang harus dikontroversikan. Biasalah pihak juri mempunyai pilihan dan kriteria mereka sendiri. Pada aku walaupun kurang berpuas hati namun aku terima kerana kehadiran para jurilah yang sepatutnya dibanggakan bukan dikutuk setengah mati.
Apapun semua sudah tahu yang tahun ini terlalu banyak variasi dalam setiap kategori dan masing-masing dari kita sudah mengetahui lagu mana yang sudah layak ke peringkat akhir Juara Lagu yang bakal berlangsung pada 21 Januari nanti. Kategori IM/EK dibarisi oleh lagu 'Warkah Buat Laila' nyanyian Zahid, 'Hantaran Hati' oleh Bob dan Aspalela Abdullah, 'Zapin Cinta SMS' persembahan Adibah Noor dan Senario dan lagu 'Candak' nyanyian asal Syura dan digantikan oleh Siti Nordiana.
Kategori Balada memilih lagu 'Secebis Harapan' (Nora), 'Terlalu Istimewa' (Adibah Noor), 'Mungkir Bahagia' (Hazami) dan 'Ku Seru' (Misha Omar).
Manakala Pop Rock memastikan dua lagu nyanyian M Nasir iaitu 'Lagu Cinta Lagu Jiwa' (duet bersama Mawi) dan 'Juwita Citra Terindah' memasuki peringkat akhir di samping dua lagu lagi 'Diari Seorang Lelaki' (Pretty Ugly) dan 'Tak Tercapai Akalmu' (Elyana).

Melihat kepada lagu-lagu yang tersenarai aku dapat katakan inilah barisan lagu-lagu yang benar-benar menepati kehendak kategori itu sendiri. Selain Balada yang memang memfokuskan pada lagu-lagu berentak perlahan dan ballard, kategori Pop Rock dan IM/EK tahun ini benar-benar menepati kehendak kategori. Kita dengar sendiri lagu 'Tak Tercapai Akalmu' dan 'Diari Seorang Lelaki' tidak kah itu lagu berirama pop rock berbanding 'Caramu' (Nikki & Zahid) dan 'Lemas' (Ruffedge)? Begitu juga jika dibandingkan betapa 'Irama Malaysia'nya 'Hantaran Hati' dan 'Candak' dengan 'Racau Sang Khalifah (Noraniza Idris) dan 'Nafas Cahaya' (Misha Omar). Dapat aku simpulkan di sini para juri sudah benar-benar arif memilih lagu yang patut melangkah masuk ke peringkat akhir Juara Lagu tahun ini. Jadi janganlah kita mempertikaikan keputusan mereka. Lagi satu tak semestinya kalau dah jadi 'sifu' tu semua yang dihasilkan juga adalah bagus dan menarik. Tok Guru pun ada buat salah!
Kembali kepada senarai lagu-lagu yang melangkah ke peringkat akhir. Aku mulakan dengan kategori IM/EK. Kategori ini memang mengejutkan! Aku tidak pernah sama sekali menduga lagu 'Hantaran Hati' dan 'Zapin Cinta SMS' mampu ke peringkat akhir. Aku meramalkan antara lagu 'Racau Sang Khalifah' dan 'Maharaja' (nyanyian hebat Ramlah Ram) antara yang akan melangkah bersama 'Candak' dan 'Warkah Buat Laila'. Namun juri lebih memilih 'Hantaran Hati' dan 'Zapin Cinta SMS'.
Pada aku kategori tidak banyak saingan sangat kerana antara ke semua yang memasukki akhir, sudah nampak 'Warkah Buat Laila' ciptaan Ayob Othman dan lirik oleh Kak Chah (Habsah Hassan) ini bakal dinobatkan sebagai juara kategori IM/EK ini. Kejayaan menjadi lagu terbaik di AIM 2006 dan muzik skor terbaik di Festival Filem Asia Pasifik menerusi filem 'Qaisy dan Laila' sudah cukup untuk membuktikan kekuatan lagi ini. Saingan terdekat adalah 'Candak'
ciptaan Pak Ngah dan lirik oleh Lokman Ghani. 'Hantaran Hati' juga mampu memikat para juri kerana kehadiran penyanyi hebat Aspalela Abdullah. Apapun mungkin juga 'Zapin Cinta SMS' mampu memberikan saingan kerana persembahan antara 'karenah' Senario dan Adibah Noor. Apatah lagu ini berbentuk jenaka. Sukar juga menghasilkan lagu berbentuk jenaka ni. Ternyata Anuar Dahlan mampu melakukannya. Mungkin juga kategori persembahan terbaik mampu dirangkul Senario dan Adibah Noor kalau kena gayanya. Siapa tahu? Itupun kalau tiada undian SMS seperti tahun lalu untuk kategori persembahan terbaik/ Kalau ada... Hm boleh agak siapa pemenangnya kerana 'Raja SMS' kita juga ada bersama dalam persaingan tahun ini.

Kategori Balada adalah kategori paling sukar diramalkan pemenangnya. Berbanding IM/EK dan Pop Rock keempat-empat lagu yang tersenarai sudah cukup terbaik antara yang terbaik. Kalau ada hadiah tempat pertama sampai kedua belas tentu semua lagu kategori Balada akan tersenarai antara lima atau enam yang terbaik keseluruhan. Pada aku, aku memilih antara 'Secebis Harapan' dan 'Terlalu Istimewa'. Keistimewaan dua lagu ini setanding antara satu sama lain. Apatah lagi ianya dinyanyikan oleh dua artis yang memang dikenali dengan vokal paling mantap malah penciptanya juga bukan calang-calang komposer. 'Secebis Harapan' dihasilkan oleh Zulkifli Mahat dan lirik oleh Noor. Manakala 'Terlalu Istimewa' adalah karya 'terlalu istimewa' Azlan Abu Hassan buat Adibah Noor selaku penulis lirik. Bukan saja dari segi melodi yang hebat, kedua-dua lagu ini juga mempunyai lirik yang cukup hebat!
Kekuatan muzik 'Secebis Harapan' adalah muziknya yang simple dengan petikan piano dan biola. Manakala muzik orkestranya menambahkan lagi 'perisa' dalam susunan muziknya. Vokal Nora pula memang tidak boeh dinafikan lagi kekuatannya. Apatah lagi Nora adalah antara penyanyi yang benar-benar dapat 'feel' ketika menyanyikan lagu-lagu perlahan, 'frust' serta 'jiwang'. Lagu 'Terlalu Istimewa' pula adalah lagu berirama pop R&B yang cukup bagus. Muzik mantap dan vokal hebat Adibah Noor sudah cukup membuatkan lagu ini 'berhantu'. Apatah lagi liriknya berkisarkan kes jenayah kanak-kanak yang sememangnya sudah menjadi barah dalam negara kita.

Dari segi persembahan lagu 'Secebis Harapan' pasti akan memberikan markah yang tinggi untuk Nora sekiranya beliau tampil dengan barisan koir dan persembahan yang simple tetapi mementingkan mutu vokalnya.. kerana di situ timbulnya kekuatan lagu ini. Manakala Adibah Noor mungkin dapat memberikan persembahan bersama anak-anak kecil berpakaian pari-pari (teringat persembahan lagu 'Bintang Hati' nyanyian Amy Mastura di Juara Lagu 2000 lalu) dan menari balle. Pasti menarik. Lagu 'Ku Seru' nyanyian Misha dan 'Mungkir Bahagia' juga hebat. Siapa tahu 'Ku Seru' bakal dinobatkan sebagai lagu terbaik kategori ini? Apatah lagi ia adalah antara finalist lagu terbaik di AIM 2006 lalu. Ciptaan Ajai dan lirik bersama Suhaimi Baba dan Kak Chah ini sudah cukup membuktikan kewibawaan mereka selepas 'Pulangkan' memenangi kategori ini tahun 2005 lalu. Apakah Ajai dan Misha sekali lagi bakal mengungguli kategori balada? Lagu 'Mungkir Bahagia' ciptaan sepenuhnya Hazami juga menarik malah tidak keterlaluan dikatakan Hazami bakal mempertahankan kategori 'Vokal Terbaik' tahun ini melalui lagu tersebut. Apapun kita tunggu 21 Januari nanti.
Kategori Pop Rock juga sengit. Pada aku 'Lagu Cinta Lagi Jiwa' (LCLJ)
mempunyai peluang cerah untuk memenangi kategori ini. Kemenangan lagu ini sebagai lagu terbaik di Hitz Satu terbitan RTM beberapa bulan lalu memberikan kelebihan pada aku untuk memilihnya menjadi juara Pop Rock. Saingan terdekat adalah lagu 'Tak Tercapai Akalmu' dan 'Diari Seorang Lelaki'. Lagu ciptaan Aidit Alfian dan AD Samad memang bagus. Paling aku suka muziknya. Betul-betul Pop Rock. Vokal Elyana perlu lebih mantap jika lagu ini hendak dinobatkan sebagai juara Pop Rock. Manakala percubaan pertama Neves untuk menghasilkan lagu yang menepati kehendak pasaran telah membuahkan hasil. Pretty Ugly mula dikenali dan diminati malah tidak menghairan kan jika lagu ini menjadi juara hampi di semua stesen radio. Buat Pretty Ugly, walaupun anda tidak menyukai hasil dari album ini kerana minat anda lebih pada muzik urban tetapi ingatlah, tanpa peminat, hasil syok sendiri yang hebat macam mana sekalipun tak kan ada hasilnya! "So keep it a good work bro!"

Lagu "Juwita Cinta Terindah' pada aku hanyalah lagu pop rock yang biasa saja. Cuma sedikit elemen R&B membuatkan ianya lebih menarik. Pada aku bukan semua hasil karya M Nasir adalah terbaik dan bermutu jadi faham-fahamlah yea. Apapun aku kagum dengan lagu LCLJ kerana keunikkannya. Tetapi lagu ini akan lebih menarik kiranya dinyanyikan bersama M Nasir dan Jamal Abdillah. Seperti lagu terbaik Juara Lagu 1997 'Ghazal Untuk Rabiah', ianya memang lebih baik jika kolaborasi antara M Nasir dan Jamal dihasilkan!
Lagu terbaik keseluruhan tahun ini pada aku
akan berpihak pada kategori IM/EK. Selepas 2001 juara kategori ini akan mengulangi kejayaan tahun-tahun 1997 (Ghazal Untuk Rabiah), 1998 (Cindai), 2000 (Balqis) dan 2001 (Mimpi Laila). Lagu mana? sudah tentu 'Warkah Buat Laila'. Walaupun jika 'Ku seru' memenangi kategori Balada lagu ini tetap terbaik memandangkan di AIM 'Warkah Buat Laila' telah menewakan 'Ku Seru'. Kekuatan LCLJ juga rasanya tidak mampu menandingi lagu ini memandangkan keunikkan tersendiri susunan muzik dan melodi lagu tema 'Qaisy Dan Laila' ini. Lagipun tak semua juara-juara terdahulu datang dari lagu yang benar-benar popular atau menjadi song of the year!. Lihat sendiri lagu 'Jerat Percintaan' (Siti Nurhaliza) (1996), 'Cinta Beralih Arah' (Aishah) 1995 dan 'Tanya Sama Itu Hud Hud (M Nasir) 1994 bukanlah lagu paling popular ketika itu. Malah selepas kemenangan mereka di Juara Lagu ketika itulah akhirnya menaikkan populariti lagu tersebut.

Jadi tidak mustahil lagu 'Warkah Buat Laila' bakal dinobatkan sebagai Juara Lagu tahun ini. Apapun kita tunggu 21 Januari nanti. Aku hanya memberikan komen berdasarkan apa yang aku tahu serta pemerhatian ku pada 'trend' Juara Lagu. Yang pasti pihak juri lebih arif. Salam sayang buat semua!
1 Comments:
Good preview ...aku yang tak biasa amik tahu hal2 muzik ni dpt gaks tahu sket2 perkembangannya.. So, tak yah tgk lah Juara Lagu nti, tuggu review awak jek la..hehhehe
.Leo Wan.
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home