Monday, January 01, 2007

Salam 2007

Salam 2007 buat semua... bagaimana dengan sambutan raya dan tahun baru Masihi yang korang sambut? Semoga tahun 2007 memberikan 'secebis harapan' buat aku dan semua yang mengenali ku... Semalam sambutan Aidiladha sememangnya memberikan satu lagi lakaran pengalaman di mana beraya tanpa bersama mak, abah dan adik seperti selalu... tetapi pertama kali di samping Ard dan rakan-rakan seperti Mie, Fiz, Zol, Fizi, Ritzdan tak terlupa Faizal.. memang menarik dan satu pengalaman paling menyeronokkan mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama... Dulu sewaktu bersama abang Zul memang selalu aku buat rumah terbuka tapi bukanlah pada hari raya pertama... baik Aidiladha apatah lagi sambutan Aidilfitri..
Apapun kemeriahan semalam bukan bermakna aku lupa pada semua yang telah aku lakarkan sepanjang 365 hari bersama di tahun 2006. Pada aku 2006 hanya penuh dengan kedukaan, dugaan malah rintangan maha hebat sepanjang aku 32 tahun aku bernafas di bumi Allah ini... Sebelum ini aku sering menyangka tahun 1999 adalah tahun paling penuh dugaan sepanjang hidup namun ternyata tahun 2006 terlalu banyak peristiwa yang benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan diri. Baik dari segi kerjaya, kehidupan malah perhubungan semuanya seakan tidak memberikan kesan yang positif! Ada-ada saja halangan dan rintangan untuk tidak menjadikan sesuatu yang bermakna dan paling mudah untukku. Apapun aku terima dugaanMu Tuhanku.
Sepanjang 2006 pula menyaksikan beberapa perubahan dalam hidupku tentang perhubungan dengan insan yang aku sayang sebagai kekasih, teman dan sahabat. Paling memberikan kesan adalah dengan terlerainya ikatan yang dibina sejak 5 Februari 2003 dengan Sham yang mana kami memilih untuk berpisah genap tiga tahun kami bersama. Ternyata malam ulangtahun ketiga kami diisi dengan ucapan perpisahan dan membawa haluan masing-masing. Hingga kini ianya masih memberikan kesan buatku terutama sekali bila terkenang sambutan Aidiladha dan tahun baru.. Dulu kami pernah merancang untuk sama-sama menyambutnya di tanahair tercinta selepas memori meraikan tahun 2005 di Kota Melbourne. Namun apalah daya ku... semuanya berlalu tanpa memberikan peluang untuk kami melakarinya di sini.. di tanahair tercinta..!
Selain itu sengketa aku dengan Arie berlarutan hingga kini juga antara peristiwa yang dilakarkan pada bulan ke 8 2006 .. Apapun aku terima dengan apa yang diinginkan nya.. itu pilihan dia.. pada aku kalau orang dah tak mahu buat apa nak paksa lagi.. kalau dia rasa bahagia tanpa punyai teman sepertiku apa boleh aku buat. Aku terima saja... lagi aku percaya pada takdirNya... ada hikmah disebalik semua ini... samada hikmah itu pada nya atau pada ku aku terima. Biarlah dia dengan caranya aku dengan caraku...
Tahun 2006 juga menyaksikan perkenalan aku dan W... memang menyeronokkan. Macam cerita novel cinta yang romantik. Hasil perkenalan yang hanya menjuruskan urusan perniagaan akhirnya membuahkan bibit-bibit mesra. Ternyata hatiku memang sudah tertawan pada sikap manja dan merendah dirinya itu. Lantas bulan Ramadhan 1417 lalu kami sepakat untuk mengikat pertalian yang tidak mungkin dapat ditulis di atas kertas. Bak kata lirik lagu Siti Nurhaliza "Cintaku bukan di atas kertas.. Cintaku getaran yang sama.." Namun langit tak selalunya cerah malah sejak dari awal lagi aku sudah menjangkakan malah bersedia untuk menerima perpisahan kami. Banyak sebab yang menyumbang ke arah perpisahan itu. Aku tak salahkan dia dan juga sesiapa.. Mungkin tidak tertulis di sana yang kami akan bersatu untuk masa yang lebih lama... Apapun hingga kini kami masih berkawan. Tiada dendam atau sengketa. Aku tetap mendoakan kejayaan dan kebahagiaannya walaupun dari jauh. Mungkin sinar 2007 nanti akan memberikan satu demi satu kejayaan penuh gemilang untuk masa depan karier nya.
Kini sinar baru 2007 aku lakarkan... perjalanan masih jauh... terlalu jauh untuk sampai ke destinasi yang aku inginkan... entahlah bila akan sampai? entah sempat entah tidak kan? Selalunya kita perlu meniti penuh onak dan duri sebelum hadirnya kebahagiaan.. Hmm di mana bahagia yang aku cari? masih belum ku temui... Sinar 2007 aku sambut dengan penuh kesyukurkan kerana masih diberi peluang olehNya untuk bernafas dibumi penuh cabaran ini. Sepanjang malam hanya diisi dengan perbualan rancak antara teman-teman di rumah Zizan. Seronok sangat walaupun mengantuk dan penat namun keseronokkan itu terubat dengan pelbagai kisah suka duka kami sepanjang tahun 2006. Tak terkecuali gossip-gossip panas tentang sahabat-sahabat lain dan juga artis-artis masakini. Nasib baik takde yang sensasi macam cerita aku dan W.
Apapun semoga apa yang bakal aku tempuhi di tahun 2007 ni semoga memberikan aku satu pengalaman dan pengajaran lebih bermakna dan aku sangat-sangat mengharapkan dengan kehadiran 2007 akan memberikan lebih banyak 'secebis harapan' untuk ku melewati hari-hari mendatang. Sesuai dengan sinonim aku dengan nombor 7 aku mengharapkan sekali lagi tuah 1997 mendatangiku... InsyaAllah dengan apa yang bakal dilalui nanti aku benar-benar yakin zaman gemilang dan terbilang aku akan kembali mewarnai hari-hari sepiku..
Buat semua semoga terus tabah menghadapi warna-warni 2007. Semoga kebahagiaan menjadi milik kalian. Buat Sham semoga kau berjaya dalam apa jua bidang yang ingin dan sedang kau ceburi. Kasih sayang abang padamu tak pernah pudar malah sentiasa mekar dalam jambangan hati. Apa saja yang berlaku antara kita semoga menjadi taudalan dan anggaplah ia sebagai satu detik pengalaman hidup.
Abang Zul, semoga terus tabah menghadapi hari-hari mendatang bersama Kak Yah, Zamir dan Aleya. Semoga mereka membesar dengan penuh kasih sayang dari seorang ayah dan ibu yang senantiasa serasi bersama. InsyaAllah Amir akan ke sana menziarahi abang sekeluarga... Rindu sangat pada si comel Zamir. Semoga dia sentiasa riang dan gembira selalu. "Be a good boy honey!"
Untuk Ard, "sayangi daku... peluklah daku... janji denganku... semai cinta nan satu...!" semoga bahagia menjadi milik kita. Semoga 2007 menjanjikan kehidupan lebih baik untuk kita berdua. Alhamdullillah serba sedikit kehidupan kita semakin bertambah baik. Cuma berjanjilah untuk bersama abang walau dalam keadaan apa sekalipun. Ternyata kita memang ditakdirkan untuk bersama. Walau berbagai rintangan melanda, kau masih disisiku!
Buat Wan dan Faizal semoga impian dan perniagaan yang dirancangkan akan menjadi dan kejayaan akan menjadi milik kalian berdua. Terima kasih kerana sama-sama 'menangis' denganku sepanjang tahun 2006 lalu dan semoga 'tangisan' kita akan reda dengan sinar 2007 yang cemerlang, gemilang dan terbilang! InsyaAllah!
Buat W... walaupun tidak secara langsung, abang tetap mendoakan kejayaanmu di dalam kerjayamu. Jangan kecewa kerana tidak berjaya antara lima yang terbaik.. cuba dan usaha lagi.. InsyaAllah tahun 2007 ini akan memberikan sepenuh kejayaan dan cita-cita menjadi pengacara terbaik akan berjaya direalisasikan nanti. Apatah lagi sebahagian drama dan filem lakonanmu akan menjengah di kaca TV dan layar perak tahun ini. InsyaAllah, populariti itu akan datang dengan sendirinya. Kebahagian dan kejayaan akan menjadi milikmu walaupun bukan dengan abang ianya bakal diraikan. Semoga 'K' lebih memahami isi hatimu dan semoga dia memberikan sepenuh pengalaman dan impianmu untuk bersama insan bernama kekasih!
Untuk adik, satu-satunya saudaraku... semoga kebahagiaan terus menjadi milikmu. Semoga tahun ini ada rezeki untukmu menimang cahaya mata yang diinginkan. InsyaAllah, abang sentiasa mendoakan kebahagiaanmu.
Akhirkata buat semua salam 2007 semoga kejayaan demi kejayaan akan kita tempuhi tahun ini. Semoga 2007 memberikan satu keceriaan buat dunia kita. Tiada lagi tragedi-tragedi sedih seperti gempa bumi, taufan, tsunami malah kemalangan maut yang menimpa mana-mana pelusuk dunia. Semoga pergolakan di Iraq, Afganistan, Somalia malah di Palestin akan reda dan mungkin berakhir tanpa sengketa lagi. Semoga dunia kan ceria, seceria bunga yang mekar dan sang rerama akan terbang bebas di sana sini.. Damailah duniaku! Dunia kita! Amin!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home