Thursday, December 07, 2006

Kurnia... Satu Kurniaan buat peminat setia


Wan Aishah Wan Ariffin.. Mungkin ada yang kenal kalau disebut nama itu tapi kalau disingkatkan menjadi AISHAH pasti ramai yang mengingati penyanyi dari Batu Kikir Negeri Sembilan yang pernah menjadi fenomena dengan lagu 'berhantu'nya Janji Manismu sekitar pertengahan tahun 1990. Lagu tersebut dinobatkan sebagai Juara Lagu Muzik Muzik 1990 malah Aishah sendiri ditabalkan sebagai persembahan terbaik tempat kedua pertandingan berprestij itu. Selepas itu bermulalah sejarah penglibatan Aishah dalam bidang seni tanahair. Walaupun selepas tahun 'berhantu'nya beliau tetap utuh setelah album kedua 'Aishah II' pada tahun 1991 yang memuatkan lagu popular seperti 'Kemaafan Dendam Yang Terindah', 'Seloka Rindu', dan 'Kasih Kita'. Kesinambungan diteruskan dengan album 'Aishah III' (1992), 'Aishah Klasik' (1994), 'Wajah' (1995), 'Merenung Bulan' (1996) , 'Tiada Duka Untuk Apa' (1997) dan yang terakhir 'Tiada Akhirnya' (1998).
Setelah 8 tahun tidak mempunyai sebarang album baru kecuali 'Sehati Sejiwa' (album kompilasi bersama artis-artis seperti Faris Zailani dan Rina Hayrina terbitan Adnan Abu Hassan, kini Aishah penyanyi bersuara gemersik lagu lunak muncul dengan 'buah tangan' terbaru 'Kurnia'. Sememangnya ianya satu 'Kurniaan' buat semua peminat setia Aishah sepertiku. Puas hati! itu saja ungkapan yang dapat aku simpulkan selepas seminggu menghayati semua lagu dalam album ini. Walaupun pada hakikatnya hanya empat lagu baru tetapi aku puas hati dengan tiga lagu 'cover version' yang dinyanyikan semula oleh penyanyi yang pernah memenangi anugerah Artis Paling Popular tahun 1990 ini.
Lagu-lagu yang terkandung dalam album terbitan Adnan Abu Hassan ini berjumlah sepuluh lagu termasuk 3 lagu yang diambil semula dari album 'Sehati Sejiwa' iaitu 'Melukut Di Tepi Gantang', 'Tiada Lagi Tangisan' dan 'Harapan'. Pun begitu bagi mereka yang tidak berkesempatan mendapatkan ataupun mungkin tidak langsung mengetahui wujudnya album tersebut ianya merupakan satu 'bonus' buat anda. Selepas 'meletup' nya single 'Tiada Lagi Tangisan' dan 'Melukut Di Tepi Gantang' album ini setidak-tidaknya akan memberikan 'harapan' buat lagu 'Berikan Harapan' yang mungkin 'tertinggal' untuk dipromosi sepenuhnya selepas ini.
Trek pertama album ini semestinya dimulai dengan lagu 'Kurnia' hasil ciptaan dan lirik Adam Ahmad yang sebelum ini membantu Aishah untuk popular dengan lagu 'Janji Manismu', 'Ayah' dan juga 'Rintihan Anak Seni'. Lagu ini mempunyai susunan muzik yang indah. Aku pasti susunan muzik hasil sentuhan Adnan sememangnya sinonim dengan lagu-lagu Aishah sebelum ni.. Iramanya sentimental dan mempunyai lirik berunsur ketuhanan dna kehidupan. Adakalanya aku teringat lagu 'Doa' nyanyian asal Zubir Ali yang dipopularkan Aishah menerusi album 'Aishah Klasik' juga merupakan tema drama Samarinda 'Mitosatras' di TV3. Lebih kurang muzik dan meldinya. Paling menarik liriknya menyebut 'Bahagia mereka mengapa aku yang cemburu? Seindah warnanya berseri.." hmm kenapa kita sering cemburu dengan kebahagiaan orang lain ya? Mungkin sebab bahagia kita tak sebahagia mereka. Tapi kalau cemburu pun jangan sampai memusnahkannya sudah ya?
Lagu kedua 'Melukut di Tepi Gantang' rasanya tak perlu diperkenalkan lagi. Lagu hasil ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Aishah sendiri memang syahdu. Malah tentu ramai yang teringat lagu ini berkumandang hampir setiap hari di TV3 dalam slot Samarinda 'Seputeh Qaseh Ramadhan' sepanjang bulan puasa yang lalu. Memang bagus cerita tersebut. Ditambah pula dengan lagu syahdu nyanyian Aishah ini. Cuma sesekali aku teringatkan kata-kata Sham dulu bila teringat pada liriknya "Dulu pernah kau katakan sayang.. ingin mendengarku berlagu riang.. menawar duka laraku... lupakan saja derita yang berlalu." Hmm pada yang mengikuti tulisan ku mesti dah tahu apa kata-katanya...
Trek ketiga 'Kasihnya Balqis' sudah pun mendapat tempat di carta muzik KLFM ditempat keenam minggu lepas. Hasil ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Muhariz Yaakub memang menarik dengan susunan muzik ala 'world music' ini. Lagunya pun sedap cuma aku tak berapa 'gemar' dengan muziknya hasil programming sehingga drumnya mengingatkan aku pada lagu raya 'Satu Hari Di Hari Raya' nyanyian semula Krisya. Alangkah baiknya kalau digunakan semua instrumens seperti percussion, gendang dan tiupan seruling yang asli dan bukan hasil programming seperti yang selalu dilakukan Adnan. Walaupun tidak 'tipikal' Adnan namun ianya tetap 'kelakar'. Apapun kalau dipertandingkan bagi kategori Etnik Kreatif di Muzik-Muzik tahun depan InsyaAllah pasti tersenarai ke akhir memandangkan lagu ini mempunyai lirik mengisahkan cerita Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis. Apatah lagi ianya digarap baik oleh Mohariz.
Lagu keempat adalah lagu tersenarai dalam semi final Juara Lagu 2005 lalu 'Tiada Lagi Tangisan' ciptaan Adnan dan lirik oleh Adnan dan Mohariz Yaakub. Sememangnya lagu nyanyian asal Misha Omar dari album 'Aksara' lebih menyerlah kerana vokal Aishah. Key nya dinaikan sebanyak dua key dari key asal nyanyian Misha. Mungkin ada strategi Adnan sendiri untuk memastikan lagu ini dipopularkan oleh Aishah dan bukan Misha. Apapun lagu ni adalah lagu 'harapan' aku dan 'W'. Setiap kali mendengarnya aku rasa sejuta kekuatan untuk tidak meneruskan cinta kami. Biarlah dia dengan dunianya!
Trek kelima ini adalah lagu paling aku suka. Pertama kali mendengarnya saja aku sudah mula menyukainya. Melodi indah dan lirik syahdu memang senang 'tangkap'. Muzik ala R&B pop ini mungkin seakan-akan lagu 'Ku Berserah' Amylea dan 'Cinta Seorang Teman' nyanyian Bob. Aku dapat rasakan kesinambungan dua lagu ini pada lagu ciptaan Adnan dan lirik oleh Faris Zailani ini. Kalaulah ada yang bakal melangsungkan perkahwinan dan baru saja menemui cinta baru 'harus' diberikan lagu ini pada insan tersayang. Antara liriknya menyebut "Bagiku kaulah teman impianku... Tawamu bisa tenangkan duka yang menjerat hidupku dalam kenangan. Hanyalah dirimu dapat mengubati, memadam resahku yang bertamu' Hmm romantiknya! sesekali teringat pada 'W'.. senyumnya memang menawarkan dukaku!
'Haruskah Aku Menyuarakan?' persoalan dari lagu seterusnya ciptaan Rosli Selaseh dan lirik oleh Lew Mable. Memang best lagu ni. Garapan dan muzik susunan Sharon Paul ini membuatkan anda menggoyangkan kepala tatkala mendengar lagu ini. Irama dan muzik R&B rancak terselit sedikit elemen Jazz memang menarik. 'Catchy' kata orang putih! memang tidak mengecewakan. Paling menyerlah rap Aishah yang mengingatkan aku pada lagu 'Biarlah Kau Pergi' satu ketika dulu. Teringat pada lagu 'Untuk Apa' dari album 'Tiada Duka Untuk Apa' yang juga ciptaan Rosli Selaseh. Memang lain dari yang lain. Tahniah buat Rosli kerana tidak menghasilkan sesuatu yang tipikal!
Trek ketujuh, 'Berikan Harapan' ciptaan Adnan dan lirik Aishah mungkin agak asing bagi yang tidak mendapatkan album 'Sehati Sejiwa' tapi pada aku lagu yang dicipta khas kerana mengingati tragedi 'tsunami' memang telah lama menarik perhatian ku. Lagu ini memasukkan sedikit bunyi ombak ketika intronya memang sesuai. Liriknya yang menyentuh jiwa memang bagus. Vokal Aishah dalam lagu ini mengingatkan aku pada lagu 'Keindahan Yang Berlalu' dan 'Camar Yang Pulang'. Sedih dan syahdu! Dengarkan dan hayatinya ketika anda tenang. Pasti airmata bergenang!
Track kelapan 'Songkok Mereng', lagu 'tradisional' yang menyerlahkan hanya kerana vokal Aishah sahaja. Tetapi susunan muziknya 'hancur'... Seperti komen aku pada lagu 'Kasihnya Balqis' lagu ini lebih sedap tanpa muzik 'programming'. Aku teringat lagu yang pernah dinyanyikan Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris dalam album 'Seri Balas' yang juga merupakan lagu yang sama tetapi ditukar tajuknya kepada 'Ketawalah Lagi'. Susunan muzik versi Siti dan Kak Ani lebih bagus. Apatah lagi mendapat sentuhan Pak Ngah. Namun versi Aishah ini seolah 'kureng'.. Seperti kata aku tadi hanya vokal Aishah saja membuatkan lagu ini menarik.
Trek seterusnya juga adalah 'cover version' dari nyanyian asal Allahyarhamah Datin Rafeah Buang berjudul 'Daun Daun Berguguran'. Aku tak pernah dengar versi asal Allahyarhamah tetapi lagu berentak asli keroncong ini memang menarik. Sama seperti Siti Nurhaliza, berikanlah lagu apa saja pada Aishah, ianya akan jadi menarik. Lagu ciptaan dan lirik oleh pasangan Allahyarhamah dan suaminya Tengku Asmawi sememangnya meruntun kalbu. Lirik syahdu dan sedih namun sesekali airmataku bergenang mengenangkan nasib yang dirundung malang. Apapun sudah menjadi adat, hidup baai roda sekali di atas, sekali di bawah. Itulah yang mendewasakan kita selalu.
Trek terakhir adalah versi terbaru lagu patriotik 'Barisan Kita'. Mulanya aku membayangkan lagu ni rancak dan bersemangat seperti yang sering dimainkan oleh para angkatan tentera di majlis perbarisan hari Kebangsaan. Namun setelah mendengar petikan piano dan vokal Aishah yang mendayu, sedarlah aku versi terbaru ini penuh syahdu dan sedih! Apapun menarik. Tanpa 'hentakan' kuat drum dan percussion lagu ni menjadi milik Aishah dengar versi tempo paling perlahan. Satu kelainan yang cuba ditonjolkan oleh Aishah. Aku tak pasti siapa yang menyusun muzik lagu ini namun aku yakin ianya hasil Sharon Paul memandangkan muziknya sinonim dengan intro lagu 'Untuk Terakhir Kali' nyanyian asal Siti Nurhaliza dan dipopularkan oleh Marsha AF3. Cuma aku terfikir tidakkah ianya nanti bakal mendapat komen 'panas' pihak menteri ataupun Kementerian Pertahanan? Hmm tak kot. Yang lain hanya tempo nya tapi originalitinya masih tak berubah.
Apapun secara keseluruhan album ini memuaskan. Walaupun bukan seratus peratus namun dari lima bintang aku berikan empat bintang setengah. Yang membuatkan ianya 'kureng' adalah susunan muzik yang agak tipikal dan 'programming' oleh Adnan yang agak ketinggalan zaman dan 'kelakar'. Aishah sepatutnya meneruskan kesinambungan album-album nya yang lepas dengan mendapatkan sedikit sentuhan terbaru dan 'advance' seperti yang dilakukan pada album 'Tiada Duka Untuk Apa'. Mungkin ada antara peminat yang tidak boleh menerima tetapi janganlah terlalu 'advance' tetapi cuma sedikit. Jadi buat semua peminat Aishah terutama Nuar, AD, Fiz dan Faizal harus korang dapatkan album ni... tak rugi! Vokal Aishah masih seperti dulu. Aku berani katakan selain Siti Nurhaliza, Aishah saja yang memiliki vokal yang 'perfect'. Kita tengok AIM 2007. Semoga album ini sempat dicalonkan pada AIM tahun depan. Kalau tak silap aku hanya album-album yang diedarkan bermula 1 Disember 2005 hingga 30 November 2006 layak dicalonkan untuk AIM tahun depan. Memandangkan album ini diedarkan pada tarikh 30 November 2006 rasanya Sony BMG harus melakukan sesuatu agar album ini dapat bertanding bersama-sama album 'Transkripsi' Siti Nurhaliza. Teringin nak tengok siapa lebih hebat antara Aishah dan Siti Nurhaliza.
Akhirkata 'Selamatkanlah Industri Muzik Malaysia'. Belilah yang original!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home