Mimpi....
Entah mengapa tiba-tiba aku teringatkan lirik lagu nyanyian Daniel MI2 ni. Aku tak suka dengan suaranya tapi aku suka lagu yang catchy ni.. Memang menarik. Muziknya yang segar ala rock yang agak ringan membuatkan aku seringkali ceria setiap kali mendengarnya.
Cuma aku terfikir untuk menghayati liriknya... Hmm setinggi angkasa mimpi dan impian kita... namun kadang-kadang bak kata lagu Erra Fazira, Harapan Hanya Impian. Begitu jugalah mimpiku untuk menyambut hari lahir Ard yang akan jatuh pada hari Isnin ini, 24hb Julai. Hampir setahun yang lalu, aku pernah mimpikan untuk membawanya ke PD ataupun Port Klang dan menikmati makan malam special dengannya.. Namun kini, 'Harapan Hanya Impian'. Apapun aku tetap ingat tarikh istimewanya itu. Mungkin sekadar memberikannya kad dan mungkin hadiah untuknya. Samada dia nak celerate dengan aku atau tidak bukanlah soalnya, sekurang-kurangnya aku ingat detik istimewa itu. Terpulanglah pada dia untuk menghargainya atau tidak.
Dan pada awal Ogos nanti, 'W' juga akan bakal menyambut hari lahirnya yang ke 25. Dia dan Ard sama umur. Sham pada lewat September nanti untuk ulangtahunnya ke 24. Hmm bercakap tentang 'W' aku makin keliru... Makin keliru dengan diriku sendiri. Aku tak pasti bagaimana harus aku buangkan rasa rindu dan kasih ini padanya. Dalam masa yang sama, akal ku seringkali memujuk agak aku tidak menurut rasa hati. Namun perasaan ini terlalu sukar untuk ku nafikan. Hmm ada yang mengatakan, "buat apa tunggu lagi... bukan senang tau nak berdampingan dengan orang sepertinya. Nah! sekarang dia juga berperasaan sama... teruskan saja lah!" Ya!! kadang-kadang aku teruja untuk meneruskan... Tapi setelah akalku mula mengatakan... "perlu ke mengulangi sejarah hitam 12 tahun lalu? Perlu ke nak memendam rasa sendirian? Perlu ke nak peningkan kepala setiap kali membaca majalah ataupun melihat aksinya di media elektronik?"...
Hm bagaimana nanti? Seperti tajuk di atas... aku memang berada di persimpangan. Antara menurut kata hati ataupun memikirkan dengan terbaik sebelum meneruskan perjuangan ini. Ya! hidup umpama lakonan di pentas dunia. Mahukah aku menjadi 'pelakon' di sisinya, di atas pentas ceritanya tetapi hanya untuk 2-3 babak sahaja? Perlukan aku melakukan semua itu? Entahlah... Aku tak meragui keikhlasannya tapi apakah ada jaminan yang aku akan berada di sisinya untuk jangkamasa yang lama? Untuk selamanya, mana mungkin? Dalam 'dunia' ini mana ada hubungan yang selamanya? Kecuali Mie dan Fiz yang memasuki tahun ke 16, belum ada lagi aku dengar hubungan 'dunia' ini kekal sebegitu lama...
Tapi untuk berapa lama kalau aku dengan 'W' ditakdirkan bersatu? Untuk hanya beberapa bulan seperti aku dan Ard, ataupun setakat setahun ketika bersama Lanz dan 3 tahun bersama Sham? Ataupun paling lama 6 tahun ketika bersama abang Zul? Hmm mana mungkin selama itu dengan adanya kehidupan glamour dan penuh 'hipokrit' nya. Yang tak glamour macam Ard pun sekadar bertahan 6 bulan. Itupun dah macam 'playboy' berdampingan dengan jantan sana sini. Inikan pula 'W' punya rupa, punya personaliti dan dikenali ramai, usahkan lelaki, perempuan pun dah ramai admire kat dia.
Hmm entahlah... di sebelah ni buat semua aku paparkan gambar bakal anak-anak tiri bersama bakal suami Siti Nurhaliza. Anak kedua (baju bernombor 3 warna merah) tu memang comel. Suka aku tengok. Muka memang idaman aku. So happy viewing!! Mungkin ada yang dah dapat email gambar-gambar tu.. apapun untuk tatapan korang... tengok jelah ye?
Untuk semua peminat Siti, doakanlah kebahagiannya. Kita cuma peminat, apa yang terbaik dalam hidupnya terbaiklah untuk kita. Kecualilah hal-hal yang berkaitan kariernya. Soal peribadinya, dia ada hak memilih dan membuat keputusan apa pun. Hmm semalam ketika muncul dalam rancangan Muzik-Muzik di TV3, Siti adan memberitahu tentang perancangan untuk kembali dengan album tradisional kelimanya selepas Cindai, Seri Balas, Sahmura dan Sanggar Mustika selewat-lewatnya tahun hadapan. Hmm tak sabar rasanya menunggu kelahiran album itu. Selepas yang terakhir tahun 2002 (Sanggar Mustika yang memuatkan lagu hits Nirmala dan Badarsila) Siti tidak pernah tampil lagi dengan lagu-lagu tradisional yang menjadi kegemaranku. Sampaikan aku terpaksa mendapatkan album Syura 'Shahadah Berdendang' semata-mata melepas rindu pada suara Siti yang di'klon'kan oleh Syura itu. Apapun aku harap Pak Ngah dapat membuat sesuatu yang lebih baik dari sebelum ini. Kalau boleh dapatkan Dato' Ahmad Nawab sekali.
Akhirkata untuk bingkisan kali ini... semoga semua berada dalam keadaan sihat di samping karier dan kehidupan masing-masing. Untuk Mie dan Fiz, selamat berbulan madu lagi (kali yang entah berapa puluh kali), aku respect kalian... 16 tahun beb!! Alangkah bahagianya aku kalau dapat bertahan lama seperti kalian. Untuk Hanz yang baru aku kenali 2 minggu lalu, salam perkenalan semoga kita kan bertambah rapat selepas ini. Teruskan tekad mu untuk kembali menawan langit biru selepas hampir sebulan berehat. Jaga diri dan hiasi peribadi.
Untuk semua... tataplah jejaka idaman semua wanita... aku tak pasti siapa dia tapi aku dapat dalam website nya ketika sibuk memuat turun beberapa risalah tentang perniagaanku. Siapa dia jangan tanya, sebab aku pun tak tahu siapa jejaka idaman ini. Namanya Imran Abbas. Mungkin jejaka dari Asia Barat, tempat Almarhumah nenek aku dilahirkan! Kalau ada yang tahu bagitau lah yea?
Akhirkata, impian tetap akan menjadi impian andaikata tiada usaha ke arah menjadikannya suatu kenyataan. Tetapi kenyataan boleh boleh kekal menjadi impian tanpa kita berusaha sedikit pun! Wassalam
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home