Saturday, March 25, 2006

Antara Mungkin Dan Curiga...

Bertemu lagi... secebis ingatan buat insan yang pernah bertakhta di hatiku lewat millenium lalu... suara yang sudah lama aku lupakan, semalam kembali menerjah gegendang telingaku.. Tak sangka sungguh, yelah selepas hampir dua tahun Lanz di bumi 'Uncle Sam' inilah kali pertama dia menghubungiku. Hampir sejam kami berborak mengenai diri masing-masing.
Paling aku tersentuh dengan sikap caringnya yang masih seperti dulu. Suara romantisnya terkadang membuatkan aku khayal. Tak semena-mena ingatan aku kembali ke tahun 1998 ketika negara sibuk dengan pembukaan sukan kedua terbesar di dunia, Sukan Komanwel. Kini setelah hampir lapan tahun ianya berlalu, obor sukan berprestij itu kembali marak menyala di negara Kanggaru pula malah di bandaraya yang pernah menyaksikan kemesraan aku dan Sham September 2004 dan 2005 lalu. Kerana semarak sukan yang baru berakhir semalam itulah yang mengerakkan hati Lanz menelefon ku jauh beribu batu.
Aku tak mahu sentuh kisah lama kerana biarlah ianya menjadi rahsia. Hanya rakan-rakan terdekat ku saja tahu betapa peritnya pengalaman cinta yang hanya bertahan setahun itu. Bukan kerana sikap Lanz tetapi kerana keluarganya, lebih-lebih lagi ibunya Puan Sri Aishah. Namun biarlah itu semua menjadi kenanganku, kenangan yang mendewasakanku yang ketika itu hanya berusia dua puluh tiga tahun. Hmm umpama adik-adik yang baru nak meningkat naik. Aku tak pasti orang lain, tapi ketika itu aku baru setahun mengenali 'dunia' serba mencabar ini. Aku bernasib baik kerana ketika itu aku mempunyai insan paling dekat dalam hidupku untuk memberikan nasihat padaku mengenai apa yang berlaku. Siapa lagi kalau bukan ibuku sendiri. Keterbukaannya menerimaku seadanya bukan saja melegakan hati malah memberikan semangat untuk ku terus melangkah.
Apapun kini aku sendiri tidak pasti.. apa sudah jadi dengan diriku? Panggilan Lanz benar-benar mengujiku. Aku tak tahu kenapa kini aku seolah rindu padanya. Sebelum ini walaupun sudah lebih dua tahun kami tidak pernah berjumpa antara satu sama lain, aku tidak pernah merasa apa-apa. Apatah lagi merasa bersalah kerana tidak menghadirikan diri buat kali terakhir di KLIA 27 September 2004 lalu sebelum dia berhijrah ke Los Angeles. Tapi kini aku tak pasti mengapa aku begitu resah selepas panggilan itu. Mungkin kerana kesepian yang mencengkam... ketiadaan Sham yang kini berada di negara matahari terbit juga Ard yang kini berada di Bumi Kenyalang membuatkan aku seolah hilang arah. Mujurlah dengan iman dan ingatan ku padaNya memberikan ketenangan dalam jiwaku yang makin berserabut.
Semalam sewaktu Lanz bertanya mengenai Sham aku agak keberatan untuk agak keberatan untuk menceritakan hal yang sebenarnya. Namun itulah pertanyaan demi pertanyaan membuatkan aku redha. Sudah tentu status antara aku dan Sham amat mengecewakannya. Dulu dia pernah mengharapkan kami akan kekal lebih daripada tiga tahun. Tapi itulah, manusia hanya mampu merancang tetapi Dia yang menentukan. Aku pasrah!!
Aku makin teruja bila diberitahu Lanz akan pulang ke tanahair untuk beberapa minggu bermula 15 April depan. Entahlah, tak sabar pula menanti kan kehadirannya. Tetiba saja rasa rindu itu kembali berputik. Aku sememangnya rindu pada kemesraan dulu. Dialah cinta pertamaku. Dia juga adalah lelaki pertama yang bertakhta di hati ini. Malah dia juga mengajarku tentang erti kasih sayang. Kata orang cinta pertama itu sentiasa kekal dalam hati. Mungkin ada kebenaran.
Namun kini antara mungkin dan curiga... Itu perasaanku kini. Mungkinkah dia akan kembali ke pangkuanku? Mungkinkah cintanya akan kembali menerangi hidup sepiku? Dari riak bicaranya seolah kembali menagih cintaku. ungkapan "Tulah, dari dulu lagi abang dah kata lepas awak break dgn Dzul, balik semula dengan abang, awak tak nak. Nak juga couple dengan budak berhingus tu!" hmm sentap sekejap. Dalam senyap sempat pulak dia kutuk Sham. Aku tak ceritakan padanya tentang Ard. Bukan untk menidakkan kehadirannya, cuma aku tak mahu dia terus-terusan mengutuk aku.
hmm entahlah... kalau pun ya, aku curiga malah aku tak mahu lagi cinta jarak jauh. Cukuplah segala kepahitan ketika bersama Sham dulu. Aku serik. Mungkin sekadar kawan ataupun lebih mungkin seperti abang. Apapun tengoklah, aku hanya menharapkan yang terbaik. pada aku kawan lebih baik. seperti juga aku dan Sham sekarang, kami masih mesra cuma tiada ungkapan dan rasa cinta itu lagi. Aku terima hakikatnya. Begitu juga Ard, selain sebagai teman serumah, dia lebih ku anggap sebagai adik, tidak lebih dari itu.
Apapun semoga hari-hari yang bakal mendatang memberikan seribu keceriaan buat hidupku. Masa terus berlalu namun hingga kini aku masih bertatih mengejar impian dan cita-citaku. Saat gemilang itu masih terlalu jauh untuk ku gapai. Apatah lagi untuk cemerlang dan terbilang dalam karierku... hmm belum nampak bayang... kalau hidup bagai roda, rasanya hidup aku di roda yang tak bergerak-gerak. Asyik dok kat bawah saja...

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home