Tuesday, April 24, 2007

Kini Kau Tiada.............

Ooh... pergilah saja
Kini kau tiada
Tak perlu lagi ku merasa deritamu
Kini kau tiada
Tak perlu lagi ku di sini menantimu
Kini cinta tiada

Tak ku sangka cintamu menjelma
Hingga kau lalu menyapa
Daku sayu oh sikap dinginmu
Kau berubah, jiwaku celaru

Tak kusangka ku dipinggirkan
Perasaanku ini bukan mainan
Pergi saja usahlah kau berdusta
Bebaskan ku segera
Janji manismu di bibir saja
Cinta suciku kau memperdaya
Hati ini jangan kau lukai
Biar saja diriku sendiri
Kini kau tiada.. kau tiada..
Cintaku kan ku simpan tuk yang mengerti!!

Artis: Sarimah
Ciptaan: A Lehtonen & C King
Lirik: Shah Shamsiri


Hai semua.. semoga dilimpahi kurnia dan berkat dariNya di hari ini. Semoga apa yang kalian lakukan saat ini mendapat keredhaanNya. Pada aku semuanya semakin bermakna tanpa lagi keraguan. Aku sudah mula sedar tiada makna untuk aku terus memisahkan diri dari keriangan dan kekuatan. Selagi aku begitu, selagi itulah tiada keceriaan dalam hidup yang sering dahagakan kebahagiaan. Terima kasih buat semua yang memahami samada aku mengenali mereka atau tidak. Terima kasih juga buat teman-teman sehati dan sejiwa yang terus memberikan semangat untuk terus melangkah.

Oh ya, minggu lalu aku berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan Arie dan isterinya Lyn. Bersama Wan Alias aku memulakan pengalaman pertama memandu sejauh hampir 150 km ke Sabak Bernam Selangor. Suasana kampung yang dihiasi sawah padi dan sungai yang mengalirkan air di sekelilingnya sambil disulami ladang kelapa sawit menjadi tatapan kami berdua. Memang menarik perhatian tatkala melihat kehijauan sawah padi dan sungai yang terkadang dihiasi kuntuman mekar sang teratai di dalamnya. Teringat panorama indah seolah berada di Pulau Mutiara. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 2 jam dari rumahku itu bermula seawal 9.00 pagi. Dan kami tiba di sana sekitar 11.30 pagi Ahad nan indah. Suasana panas terik sedikit pun tidak mematahkan semangat ku untuk melihat majlis persandingan sahabat yang pernah bersusah payah dengan ku sebelum ini. Meriah juga majlis sanding yang pertama kali memberikan aku pengalaman merenjis dan menepung tawar mempelai di pelamin. Apapun sekalung Tahniah dan ucapan "Selamat Pengantin Baru" buat Arie dan Lyn semoga perjalanan kalian yang baru bermula ini akan dihiasi dengan kebahagiaan yang berpanjangan. Semoga jodoh kalian hingga ke akhir hayat.

Hmm hampir terlupa aku pada komen ku tentang AIM 2007. Dek kesibukan yang sering mencengkam dan ketidakupayaan akalku untuk memerahkan idea untuk menulis di sini, maka komen itu rasanya hanya aku pendamkan dan serba sedikit sahaja lah dalam bingkisan kali ini. Sepatutnya aku sisipkan bingkisan komen ini di halaman 'damaq-hiburan' namun dek kesuntukkan waktu (AIM 2007 akan bersiaran langsung pada Sabtu ini 28 April 2007) aku lakarkan di bingkisan kali ini itu pun serba sedikit sahaja. Sebelum aku meneruskan dengan komen AIM 2007, aku cuma ingin mengucapkan selamat 'berjuang' buat Abang Azlan dan Kak Dibah melalui lagu mereka 'Terlalu Istimewa' yang tersenarai di peringkat akhir Hitz 1 pada Jumaat ini. Begitu juga buat srikandi seni ku Siti Nurhaliza yang juga bakal berentap dengan lagu 'Bisakah' ciptaan Aubrey Suwito.

Baik kita mulakan komen dan ramalan ku tentang AIM 2007 tetapi tahun ini hanya beberapa kategori aku dapat komen dan ramalkan manakala yang lain aku tak mahu komen kerana sedikit sebanyak sudah nampak 'politik' dalam anugerah berusia lima belas tahun ini. Mungkin tahun ini akan merubah segala ramalan dan mungkin akan ada keputusan yang diluar jangkaan? Aku sendiri menanti jawabnya. Kita tunggulah malam 28 April nanti. Okey untuk kategori pertama Kategori Artis Baru Terbaik, dari senarai yang ada, Bob, Farhan AF4, Fazli Zainal, Izwan Pilus dan Sean Ghazi aku dapat komen di sini, saingan terdekat adalah antara Fazli Zainal dan Sean Ghazi. Dari segi bakat, Farhan juga tidak boleh diketepikan namun pada aku peluang antara Fazli dan Sean adalah seimbang. Jadi kita tengok siapa yang kena!! Mungkin juga Bob akan mengejutkan semua?

Kategori kedua, Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki), calon-calonnya adalah Bob (album Hantaran Hati), M Nasir (Sang Pencinta), Reshmonu (Superfine), Saleem (Epigoni) dan Sean Ghazi (Semalam). Pada aku semua calon-calon nya memang bagus dan sukar dibuat perbandingan. Kadang-kadang bila sampai bab macam ni, kedudukan dalam arena seni pula diukur sebelum diputuskan pemenangnya. Semua sedia maklum sang 'Sifu' kita juga mempunyai vokal yang tidak boleh dipertikaikan kehebatannya. Namun di sini aku nampak Bob mempunyai variasi dari segi vokal untuk memiliki kategori ini. Reshmonu juga punya peluang memandangkan beliau pernah dinobatkan untuk kategori ini pada AIM 2004 yang lalu. Namun apa pula dengan Sean Ghazi? Pada aku beliau juga punya peluang kerana suaranya memang penuh ke 'jazz' annya. Mungkin ada yang tak tahu kebanyakkan ahli AIM terdiri dari mereka yang meminati muzik yang kononnya berada di senarai teratas dalam semua jenis muzik, maksud aku mereka meletakkan irama Jazz dan R&B itu sebagai muzik kelas atasan. Jadi sedikit sebanyak markah juri mungkin terbias (bias bermakna tempias bukan bias bermakna memihak) pada nya. Jadi aku cuma mampu katakan di sini antara M Nasir, Bob dan Sean.

Vokal Terbaik dalam Album (Wanita) pula benar-benar membuatkan aku resah! Resah untuk melihat sejauh mana Siti Nurhaliza mampu bertahan. Mungkin dengan pencalonan Aishah dan juga Noryn Aziz. Aishah sememangnya hebat memandangkan beliau pernah memenangi kategori ini tahun pada tahun 1995 menerusi album 'Aishah Klasik' dan pada ketika itu Siti baru saja memenangi Bintang HMI. Aishah dan Siti pernah tersenarai dalam kategori ini pada tahun 2000 tetapi kemenangan berpihak pada Siti Nurhaliza kerana ketika itu Aishah hanya bersandarkan pada album raya 'Pulanglah Perantau' yang memuatkan kebanyakkan lagu-lagu 'cover version' yang kurang menyerlahkan keupayaan vokalnya. Siti Nurhaliza pula bertanding dengan album 'Pancawarna'. Ramalan aku di sini adalah Siti Nurhaliza sekali lagi, pun begitu aku tak terkejut kalau Aishah merampas gelaran 8 tahun berturut-turut Siti Nurhaliza tahun ini menerusi album 'Kurnia'. Namun seperti kes kategori Vokal Lelaki, kelebihan lahir dengan album yang menampilkan muzik 'kelas atasan' iaitu Jazz oleh Noryn mungkin akan mengejutkan semua pada malam itu nanti walaupun pada aku suara Noryn sekadar biasa-biasa saja. Malah ketika beliau bersama Sister Sister dulu pun album itu tidak mendapat apa-apa pencalonan di AIM. Jadi kita tunggu, pada aku samada Aishah atau Siti Nurhaliza, kedua-duanya punya peluang seimbang untuk pulang sebagai pemenang.

Aku tidak mahu komen Vokal Terbaik dalam Album berkumpulan kerana majoriti album yang bertanding tidak berada dalam simpanan ku. Jadi tidak adil aku meramalkan hanya dengan beberapa album sahaja kan? begitu juga dengan kategori Kulit Album Terbaik, Video Muzik Terbaik dan Rakaman Album Terbaik, hanya pihak juri yang arif sahaja mampu meramalkannya. Namun Album Pop Etnik Terbaik (kesian betul kerana hanya terdapat 2 pencalonan) aku yakin pencalonan kategori ini akan bertambah tahun depan dengan pencalonan album Siti Nurhaliza (album tradisional nya tahun ini), album Betty Benafe, Noraniza Idris dan Waheeda (Melodi Ahlan). Apapun dari dua pencalonan aku lebih mengatakan album Syura dan Natasha mempunyai keseimbangan dalam memenanginya kerana kedua-duanya adalah hasil karya bermutu Pak Ngah. Namun dari segi populariti ia lebih memihak kepada Syura menerusi album 'Syahda Berdendang' yang turut memuatkan lagu finalist Juara Lagu tahun lalu, Candak. Malah pada aku album Syura lebih menyerlahkan vokalnya berbanding Natasha yang baru muncul.



Album Nasyid rasanya tidak adil jika aku ramalkan memandangkan aku hanya mempunyai album Raihan (Tawakal) dan Firdaus (Dunia Yang Lebih Indah) namun aku lebih tertarik kerana ini kategori pertama Mawi tersenarai sebagai calon di AIM. Mungkin hasil kerja Arab dan Othman Mahmood untuk album 'Doa, Berzanji dan Qasidah Berlagu' yang mantap ini membolehkan 'Raja SMS' ini tersenarai dalam kategori ini. Jika album ini dinobatkan sebagai pemenang pun mungkin kerana kebolehan kedua-dua komposer ini dalam menghasilkan sesuatu produk bermutu.




Album Pop Terbaik aku terkejut kerana album Aishah 'Kurnia' juga tersenarai wahal hanya suara hebat Aishah saja yang membuatkan album ini hebat disamping lagu-lagunya tetapi tidak pada susunan muziknya. Pada aku album Siti Nurhaliza (Transkripsi), Fazli Zainal (Harapan) dan Jaclyn Victor (Inilah... Jac) mempunyai peluang seimbang biarpun (bukan 'bias') album Transkripsi menjadi pilihanku kerana pada aku inilah album paling terbaik dari Diva Pujaan ku. Selepas EMAS yang dihasilkan pada tahun 2003, inilah album yang mampu sekali mengangkat Siti Nurhaliza sebagai pemenang Album Terbaik Keseluruhan (Album of The Year) selepas Adiwarna (1999), Seri Balas (2000) dan EMAS (2004). Apapun album Noryn 'Alam Maya' juga mungkin mampu mengejutkan semua calon kategori ini. Mungkin? Kita tunggu!




Album Indonesia Terbaik, hmm sampai hari ini aku terfikir apa relevannya kategori ini. Apatah lagi tiada kategori sebegini di Anugerah Muzik Indonesia. Jadi rasanya pihak AIM perlu memikirkan kembali relevannya kategori ini. Apapun dari senarai album yang tersenarai aku memilih album Samsons (Naluri Lelaki) berbanding album Jiwaku oleh Ruth Sahanaya, Republik Cinta (Dewa 19) , Selalu Ada (Ari Lasso) dan SO7 (Shiela On 7). Bukan apa, album Samsons lain dari yang lain... tidak terlalu tipikal Indonesia yang mempunyai genre muzik yang sama (pop rock). Saingan terdekat adalah Dewa 19... kita tunggu siapa yang menang yea?


Lagu terbaik? Hmm kerana 3 lagu 'sifu' tersenarai iaitu 'Sang Pencinta', 'Tujuh Nafas Lagi' dan 'Juwita Citra Terindah', jadi aku dapat katakan yang peluang M Nasir untuk memenangi kategori ini adalah 60%. Lagu mana, mungkin antara Juwita dan Sang Pencinta. Tapi pada aku lagu 'Ceritera Cinta' dendangan Jaclyn Victor dan Rio Febrian memang mengasyikkan. Paduan dua suara ini sememangnya hebat! Apatah lagi lirik terhasil dari pemenang kategori ini tahun lalu Kak Chah atau Habsah Hassan menerusi "Warkah Buat Laila".



Hmm itu saja 'review' aku untuk AIM 2007. Aku tidak mahu komen kategori-kategori lain yang aku kurang rasa aku tak mampu untuk meramalkannya kerana ada antara calon-calon itu bukan saja aku tidak ada album mereka malah langsung tidak pernah dengar! Apapun kita tunggu hujung minggu ini. Semoga AIM terus menjadi satu-satunya anugerah tanpa pemilihan sms yang terunggul di tanahair. Tentang Akademi Fantasia aku agak kecewa kerana perserta favourite ku Rizal sudah terkeluar pada minggu lalu. Apapun aku yakin bakat pemuda dari Sarawak ini tidak terkubur di situ kerana dia sememangnya berbakat menyanyikan lagu tradisional seperti yang ditunjukkan pada konsert minggu ke 4 dengan lagu 'Di Ambang Sore' itu. Memang mengasyikkan! Apapun all the best buat mu Rizal... "Kamek cayak kitak!"


Rasanya cukup dulu setakat hari ini. Nanti kita berjumpa lagi di lain masa. Aku teruskan hidup tanpa ada lagi rasa sangsi, rasa keliru dan dilema kerana segalanya sudah pun berakhir. Cintaku ini kan ku simpan untuk yang mengerti. Buat abang Lanz yang jauh di mata tapi dekat di hati, kepulanganmu kali ini sememangnya bermakna. Tarikh 10 May ku nanti dengan penuh kesabaran. Semoga ikatan persahabatan kita tetap kekal selamanya walaupun mungkin tiada lagi rasa cinta yang bakal menapak di sudut hati kita. Buat Arie dan Lyn semoga bahagia selalu, amalkan tolak ansur dan saling percaya antara satu sama lain sebagai panduan. InsyaAllah kalian memang pasangan yang sepadan!


Untuk Wan Alias, terima kasih atas segala nasihat dan pandanganmu. InsyaAllah, sahabatmu ini akan selalu mempertimbangkan segala ungkapan yang keluar dari mulutmu. Buat Ard, jika ada insan lain yang mungkin lebih baik dari abang, belajarlah dari kesilapan. Jangan diulangi yang tidak baik itu. Semoga dia lebih memahami dan kurang 'baran' dari abang walaupun tidak pernah sesekali tangan dan kaki ini hinggap di tubuhmu walaupun acapkali kau menyiramkan minyak pada api amarahku. Wassalam


Thursday, April 19, 2007

Aku Tetap Aku...

Kini engkau berkata kau ingin kembali ke padaku
Setelah menyedari kesilapan dirimu dahulu
Maafkan aku sayang tapi kini hatiku gembira
Bebas dari belenggu penjara cintamu yang palsu
Semenjak kau tiada ku senang bersendiri

Di sana masih ramai yang menawarkan cinta padaku
Membuat aku sedar ada yang menghargai diriku
Usah kau harapkan ku akan mengulangi kesilapan
Kerana aku tahu bagimu cinta hanya alasan
Jangan menyusun kata aku tak percaya

Aku tidak pernah mendendamimu
Kau bukan yg pertama dan kau juga bukan yang terakhir
Kau harus memahami cinta bagiku hanya sekali
Aku bebas berkata bebas melakukan apa saja
Apapun yang terjadi aku hidup hanya untuk aku
Simpan saja simpati aku tidak perlu semua itu
Aku tetap aku biar siapa pun di sisiku

Ciptaan & Lirik: Zuraini Khalid
Nyanyian: Ramlah Ram
Album: Di Ambang Pintu Kasih
(c) 1992 BMG Music Publishing Sdn Bhd

Hmm pagi ini aku seolah melangkah ke alam baru... Tiada lagi persoalan macam lagu 'Enggan' nyanyian Kak Jee tu.... semuanya 'Akhirnya Kini Pasti'... Tiada lagi persoalan. Tapi apa yea? Hmm hubungan aku dan Ard! 'Raja' di dalam diriku sudah menitahkan apa yang dinasihatkan oleh 'Bendahara' nya sejak sekian lama! Bagaimana? Pagi ini aku ada membaca sms dalam telefon bimbitnya... sms dari seseorang bernama SHAH. Lebih kurang begini soalan SHAH pada Ard "sekarang u dok ngan sape? Bf? member? or skandal?" dan kalian nak tahu apa jawapannya? Dengan hati berdebar aku pun membuka 'sent box' nya. Aku tak terkejut bila mana membaca jawapannya pada SHAH "dok ngan skandal, tapi buat hal masing-masing. Bf takde"! Hmm pelbagai rasa timbul di benak hatiku sejurus selepas membaca satu persatu perkataan tadi. Rasa lega, puas hati, geram, marah, sedih, kecewa dan berbagai lagi perasaan bercampur baur menjadi satu jenis perasaan yang sukar nyatakan!

Apapun aku redha dengan apa yang berlaku. Mungkin satu kesilapan aku memberi cintaku pada mereka yang tidak perlukan cintaku. Dengan ertikata lain pada mereka yang tak sepatutnya! Sepatutnya aku sudah lama tinggalkannya. Dan sepatutnya juga aku tidak perlu memberikannya peluang kedua dulu. Sepatutnya juga lagi bermula May 2006 lalu kami hanya sebagai rakan serumah. Namun mungkin kerana kesilapanku, kesan ini ku alami saat ini. Apapun aku bersyukur sms itu kembali menyedarkanku dari kesilapan yg seringkali aku ulangi. Aku mungkin terlalu dungu kerana meletakkan dirinya antara yang teratas bertakhta di hatiku. Mungkin juga ketika dia mendambakan peluang kedua, tanpa fikir panjang aku terus menerimanya dek kerana mahu melupakan 'W'. Ya! Mungkin juga! Tapi yang aku ingat, Wan SS2 banyak menasihatkan aku agar menerimanya kembali atas dasar kami sudah sekian lama tinggal bersama. Yalah, dari segi memahami dia mungkin sudah faham akan caraku di rumah, segala masalah ku di rumah mungkin hanya Ard saja yang tahu. Tapi ternyata hanya aku yang masih tidak memahaminya!

Entahlah.. apapun mulai hari ini aku umpama burung yang terbang bebas... tiada lagi ikatan yang tak pasti yang membelenggui ku. Segala persoalan kini terjawab sudah. menjadi sejarah cinta yang luka! Ah! jiwengz pulak aku ni yea! Apapun kini ku melangkah ke musim baru. Hmm kalian perasan tak tajuk dan lirik lagu nyanyian Kak Melah tu? Lagu rancak berentak R&B itu menyerlahkan kredibiliti kak Melah sebagai penyanyi serba boleh. Bukan saja suaranya tapi lenggok alunan juga bagus! Namun apa yang aku suka adalah liriknya! Memang lagu ini patut aku berikan pada Ard sewaktu dia mula-mula mahu kembali padaku awal November 2006 lalu. Patutnya tiada ungkapan sayang lagi untuk kali kedua.... Paling aku suka rangkap "kau bukan yang pertama dan kau juga bukan yang terakhir".... Ya! yang pasti kau bukannya yang terakhir!! Lagipun kita bukan pernah bercinta.. skandal saja kan!!

Rangkap "Di sana masih ramai yang menawarkan cinta padaku... membuat aku sedar ada yang menghargai diriku!" memberikan sedikit kekuatan! Rasanya inilah masanya mendengar lagu-lagu pemberi motivasi bukan lagi sedih, mendayu dan 'tangkap leleh' yang membuatkan hati makin sayu dan sedih. Pelik pula bila aku lihat ada antara sahabatku yang menangis tak tentu arah setiap kali lepas putus dengan kekasih mereka. Apa tidaknya, masa tengah sedih tu lah mereka 'bantai' dengar lagu-lagu mendayu ala-ala 'Izinkan Ku Pergi (Kaer)' sudah tentu air mata bercucuran bak hujan kan? Hmm cuba dengar lagu-lagu yang memotivasikan diri macam lagu Kak Melah ni. Tak pun lagu 'You'll See (Madonna). Barulah kita ada semangat untuk jauhkan diri dari semua ingatan lalu. Apapun memang benar... di sana masih ramai yang menawarkan cinta padaku... mungkin cinta agung yang ku cari atau mungkin cinta palsu seperti Ard...

Jadi bermula hari ini dan hari-hari mendatang.... Tiada lagi yang ku harapkan... maka tiada lagi yang ku impikan... Hanya harapan yang hanya tinggal impian. Tiada lagi kerinduan... malah tiada lagi cinta! Biarlah semuanya berlalu... teringat lagu "Kata Dan Rupa" nyanyian Aishah "Ku ingat pesan ibunda setiap luka dan duka kan tiba rahmatnya!" Ya! mama sering mengatakan demikian juga padaku! Semua yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah yang baik dan tidak baik... Setiap orang mahukan yang baik tetapi tak semua hikmah yang baik itu akan menjadi milik kita. Perlahan-lahan aku akan tutup pintu hati ini buat sementara! Aku hanya mahukan ketenangan buat masa ini. Kerana bermula awal 1997 hinggalah sekarang hatiku tidak pernah sunyi menerima kehadiran seorang lelaki untuk disayangi. Mungkin ini masanya untuk aku menyayangi diriku sendiri pula. Terima kasih buat "MSSL" dan "Anonymous" yang memberikan komen berharga. Mungkin orang yang sama tapi walau apapun terima kasih sekali lagi untuk perhatian anda.

Jadi cukup dulu sampai di sini untuk kali ini. Semoga kalian semua dapat memberikan aku sokongan moral untuk aku terus melangkah menuju destinasi yang masih belum pasti ini. Buat Ard.. terima kasih kerana cinta palsumu... belajarlah menyayangi seseorang dengan penuh keikhlasan. Lihatlah pada sepuluh kebaikan yang orang telah berikan dari memandang hanya satu keburukkannya. Kerana selama ini abang lebih melihat pada satu kebaikan mu tidak pada sepuluh kejelekanmu. Walaupun berkali kau melukakan namun abang tetap menyayangimu. Tapi kesabaran dan ketabahan itu ada batasnya. "KINI BATAS KESABARAN MENANTI.. CUKUP RASANYA DI SINI IA BERAKHIR....." (Batas Menanti - Fauziah Latiff)

Salam sayang buat semua yang mengikuti halaman ini samada aku sedari atau tidak. Kalian tetap di hatiku! Wassalam.

Wednesday, April 18, 2007

Takdir Penentu Segalanya...



Lemah rasa kakiku melangkah pergi...
Menujui ke destinasi tak pasti..
Andai kata ada harapan untukku...
Berikan ku tanda agar jalanku lebih bererti...

Kau kucinta dari seluruh ragaku...
Melebihi segala di dunia ini..
Namun harapan masih tinggal harapan..
Dilema menanti lebih menyiksa dari segala...

Sesungguhnya...Takdir penentu segala...
Bahagia yang dicita...
Hanya sedetik jaraknya..

Namun masih... tak tersentuh kan jua..
Kabur jua pandangan...
Kekasihku... berapakah lamanya...
Ketabahanku mungkin akan pudar

Salam di angin lalu.. sudah agak lama halaman hatiku ini tidak dikemaskini kan. Akhirnya hari ini barulah ada kesempatan untukku melakukan perkara yang selama ini dipinta oleh mereka yang sering mengikuti halaman ini. Terima kasih semua. Rasanya bukan maksudku mendapatkan sokongan malah simpati dari kalian dengan menghasilkan halaman ini tapi sekadar melengkapkan sesuatu yang baru di dunia ini. Kalau dulu buku biru yang ku namakan 'diari firus' menjadi tempat ku meluahkan segala cita, rasa, impian malah perasaan yang kian mendengus kerinduan. Dengan adanya teknologi terbaru aku berkesempatan melakarkan di sini dan sesekali menjadi tatapan kalian semua. Itu seperti 'diari firus' ku dulu yang hanya menjadi milik peribadiku seorang.

Okey... salam penuh kerinduan buat semua. Keinsafan diri terkadang amat sukar untuk diyakini. Cukup aku katakan aku sudah letih mendengar kata manis yang bersarang di bibir tapi hati bak keman berduri. Entahlah, ketika bingkisan ini ditulis aku agak emosi dengan apa yang berada di sekelilingku. Tapi sebelum melangkah jauh ingin aku ucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH buat teman yang pernah sama-sama bersusah senang dengan ku dulu (pada mereka yang telah bersama-sama halaman hatiku ini sejak Disember 2005 pasti tahu siapa yang aku maksudkan), Arie yang bakal melangsungkan perkahwinannya pada hari Ahad ini di Sabak Bernam, Selangor bersama Lyn yang sememangnya aku kenali. Semoga jodoh kalian berpanjangan hingga ke anak cucu. InsyaAllah aku akan ke sana menghadiri majlis kalian.

Hmm apa yang terbaru yea? entahlah hidup aku ni terkadang terlalu rumit... terlalu banyak krisis dan konflik nya. Aku sendiri makin keliru dengan semua yang berlaku. Sampaikan aku terkadang terfikir apa tujuan aku hidup di dunia ni? adakah sekadar untuk hidup tanpa kesenangan dan kebahagiaan? tiada pahala menggunung? sekadar seribu dosa dan kesalahan? Terlalu banyak yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Persoalan dengan Ard pun masih belum selesai rupanya. Aku sendiri masih keliru adakah meninggalkannya satu keputusan tepat? Atau bersungguhkah teman-teman baru yang ku kenali untuk menggantikan tempatnya? Entahlah bak kata pepatah "ditelan pahit dibuang sayang".... itulah yang aku alami kini. Perasaan memaksa aku meninggalkannya sebaliknya hati punya berat melaksanakan tugasnya! Perasaan itu umpama Bendahara menasihati raja yakni hati tetapi segala keputusan hanya hati yang mampu lakukan dan membuat keputusan. Hmm kenapalah 'raja' aku ini terlalu sukar untuk 'menitahkan' satu suruhan agar semua rakyat jelata dan hulubalangnya kembali hidup aman dan damai?

Apapun kini aku hanya menyerahkan pada Nya untuk menentukan. Kiranya masih ada bahagia untuk ku adalah... Jika tidak aku rela bersendiri sehingga ke akhirnya. Pasrah sudah hati ini memikirkan dunia yang tiada kesudahan ini. Mungkin sudah tertulis tiada lagi kebahagiaan untuk ku. Mungkin aku tidak akan sebahagia Zaimi dan Hafiz yang bakal menyambut ulangtahun ke 18 bulan Mei nanti. Hmm kalian berdua memang membuatkan aku kagum dan rupanya ada juga golongan kita yang sebahagia pasangan normal yang lain. Kalau ada anak mungkin bakal menduduki SPM tahun ini. InsyaAllah panjang umur aku akan ke majlis kalian berdua. Sudah tentu ianya meriahkan?

Hmm baru-baru ini aku dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa pelakon kesukaan ku Catriona Ross.. Aktres kegemaran ku ni memang berbakat! Syukurlah tiada kecederaan parah seperti yang dialami Zaiton Sameon satu ketika dulu. Walaupun kecederaan yang dialami mungkin memerlukan sekurang-kurang setahun untuk dia kembali aktif namun aku tetap bersimpati dengannya. Bagiku dia memang punya kreditbiliti tersendiri. Paling aku suka lakonannya dalam telemovie 'Mek Salmah Dari Scortland' dan drama bersiri terbaik Anugerah Sri Angkasa 2006 lalu 'Rafflesia'. Wataknya sebagai Fauziah memang bagus. Paling menarik adegan tampar menampar dengan pelakon Rita Rudiani.. Hmm tak ada pula kontroversi tarik rambut macam kesnya dengan Lisdawati kan?! Ternyata Catriona memang professional kerana babak itu menyaksikan adegan tamparan sebenar! Merah kulit putih Catriona ditampar Rita! Aduh!! Kalau aku tak sanggup! Itulah lakonan sebenarnya! Apapun doaku semoga beliau cepat sembuh dan kembali mewarnai dunia perfileman dan drama di kaca TV. Ada antara kalian yang tanya pada aku..."Apa cerita 'W'?" Ah! dia dah makin hanyut dalam dunianya! Biarlah aku malas nak komen di bingkisan ini. Cukup aku katakan apa saja yang dia lakukan kini bukan menjadi tanggungjawab aku untuk mengetahuinya!

Saat ini aku masih di pejabat menyiapkan beberapa tugasan dan juga sambil-sambil mencuri masa mengemaskinikan halaman hatiku untuk tatapan kalian dan juga sebagai tanda segala apa yang sedang aku lalui dan rasai kini. Memang sepi dan sunyi kala ini. Apapun cukuplah dulu buat kali ini. Semoga insan yang baru ku kenali yang kini bermastautin di Bentong Pahang dalam keadaan sihat. Segalanya masih samar.... biarlah Dia yang menentukan segalanya! Salam penuh kerinduan. Buat abang Lanz nun jauh di tanah Hollywood, kepulanganmu ku nanti. Biarlah segala derita yang ku lalui sepanjang hampir 2 tahun tidak bertemu kau dengar dari mulut ku sendiri malah ianya lebih mudah ku ceritakan berbanding menulisnya untuk tatapanmu! Jaga diri hiasi peribadi. Buat kalian yang tidak putus-putus memberikan sokongan untuk aku terus menulis terima kasih sekali lagi. Sabar menantikan kemunculan novel pertamaku nanti. Banyak lagi yang perlu aku habiskan. Aku akan mengemaskini kan halaman http://damaq-hiburan.blogspot.com untuk komenku Anugerah AIM 2007 dalam sehari dua lagi. Jangan lupa membaca nya nanti. Wassalam

Wednesday, April 04, 2007

Segalanya Berakhir Di Sini

Segalanya di sini.. kita akhiri.. walau di sudut hati masih ada sayang terpaksa ku lepaskan... Bukan niat di hati melangkah pergi... rintangan yang datang mencabar keteguhan.. teramat menyiksakan.... Berakhir di sini sejarah cinta kita sayang.. dalam keterpaksaan ku relakan.. Luka di hatimu, luka hatiku jua sayang.. Jurang yang memisahkan, memusnahkannya! Sukarnya ku hadapi menghitung sepi.. Namun ku mengerti dikau bukan lagi pengisi rindu di hati... (Segalanya Berakhir Di Sini - Fauziah Latiff)

Assalamualaikum semua... Agak lama aku tidak mengirimkan coretan di dalam blog kesayangan ini. Tentu ada yang nak tahu apa yang telah aku lalui sejak coretan lepas kan? Lebih lebih lagi insan yang kini berada di Los Angeles tu. Terima kasih abang Lanz, panggilan abang setiap dua hari sekali begitu bermakna buatku! Walaupun antara kita hanyalah antara abang dan adik, tidak seperti sepuluh tahun lalu namun caring dari abang amat dihargai!

Apapun tajuk di atas sudah membayangkan apa yang sedang berlaku antara aku dan Ard. Ya! Segalanya berakhir di sini. Walaupun tanpa ucapan ataupun perbincangan dua pihak namun pada aku biarlah ku bawa rindu dan kasih ini dari cintanya yang mungkin tidak pernah menghargaiku. Terkadang aku terfikir siapa sebenarnya aku di sisinya? Entahlah... sebelum masa menentukan kami harus berpisah dan sebelum dia memutuskan untuk kami berpisah sekali lagi, demi maruah lebih baiklah aku mulakan terlebih dahulu. Walaupun di hati ini masih menyayanginya namun apalah dayaku untuk memaksanya kembali seperti dulu. Seperti kali pertama aku menemuinya akhir September 2005 lalu. Apalah dayaku kerana kudrat itu bukan di tanganku tapi takdirNya. Selepas ini hubungan kami samada dia sedar atau tidak hanyalah sebagai adik dan abang ataupun sekadar teman serumah sahaja. Tiada lagi seperti dulu. Biarlah semua memori dulu hanyalah mimpi dan biar semua itu hilang ditelan arus perubahan. Cukup sudah peluang yang aku berikan, tidak akan ada peluang padanya untuk kali ketiga. Mungkin dia tidak belajar dari kesilapan lalu. "Just too bad!"

Aku sudah berjanji pada diri sendiri untuk tidak menoleh ke belakang lagi. Seperti juga 'W' aku sudah mampu menerima kenyataan yang dia sememangnya bukan ditakdirkan menjadi milikku! Buat masa ni aku mahu bersendirian... Cukup sudah semua kenangan terindah yang aku lalui dengan Sham, 'W' dan Ard sejak aku kehilangan cinta paling lama dalam hidupku ketika bersama abang Zul awal 2003 lalu. Aku nak ceriakan hidupku tanpa masalah cinta buat masa ni. Biarlah, mungkin aku akan melalui detik-detik sepi tanpa sesiapa di sisi daripada aku mempunyai seseorang tetapi sentiasa sepi. Malah kesepian itu bukan saja meberikan kesan pada pemikiranku tetapi juga kerjayaku. Apatah lagi dengan kerjaya yang baru bermula di MIM ini.

Apapun terima kasih pada dua Wan bernama sahabat dalam hidupku.. Wan SS2 dan Wan Subang atas nasihat dan sokongan kalian berdua. Ianya amat aku hargai!! Begitu juga 'mak hayam' @ Dino yang banyak memberikan nasihat dan pandangan. Kalian memang 'D Bomb' sebagai seorang sahabat dan teman! Salam untuk Wan SS2 semoga perjalananmu ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah Ahad nanti diberkatiNya dan jangan lupa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan sahabatmu ini.

Walaupun berat namun segalanya harus ku lakukan demi kebahagiaan kedua belah pihak. Aku tak mahu terus menerus berada dalam dilema seperti lagu 'Di Persimpangan Dilema' ku itu. Walaupun ketika ianya dihasilkan bukanlah kerana Ard tetapi lagu itu benar-benar memberikan satu kesimpulan paling tepat. Baris akhir menyebut "ku tetap memaafkan... dan berdoa kau kembali.. sebelum diri melangkah pergi!!" Namun kini tiba saatnya ku pergi.. (teringat lagu Kaer "Izinku Pergi")

Buat abang Lanz yang jauh di ibukota Hollywood, sekiranya kau membaca warkah insan yang pernah kau panggil sayang ini, tentunya kau akan mengerti betapa terkadang hati itu bukan mudah untuk dilentur ataupun di'set' kan untuk seseorang kerana ianya datang dengan sendiri.. Cinta itu bukan kemahuan fikiran! Begitulah juga kenapa hati terlalu berat untuk kembali meneruskan cinta kita yang sudah lama menjadi sejarah. Umpama Pramid Firaun, yang tinggal kini hanyalah rasa kagum dengan apa yang telah kita lalui. Kau memulakan tetapi aku tak pasti siapa yang bakal mengakhirinya... Yang pasti bukan Ard! Mungkin juga insan seindah nama mu? Kalaulah selepas ini mengenali seseorang bernama Norazlan sekali lagi mungkin ungkapan "Kalau Lanz memulakan biarlah Lanz juga yang mengakhirinya" mampu aku katakan... Tapi mungkin juga Lanz itu ada Lanz yang mula-mula memiliki hati ini dahulu!! Salam Sayang di angin lalu semoga kau sentiasa gembira dan bahagia di rantau orang. Tak sabar rasanya menunggu kepulanganmu ke tanahair awal Mei nanti.

Untuk Ard, terima kasih atas segala pengorbanan dan perhatianmu selama mana kau bersamaku. Apa yang abang lakukan demi kebahagiaanmu. Mungkin abang bukanlah yang terbaik buatmu. Jika ada harapanmu bersama insan lain sayangilah sepenuh hati. Pastikan pengalaman dulu tidak berulang kembali. Tetapi fahamilah abang sudah memberikanmu peluang kedua tetapi tidak mungkin ada yang ketiga selepas ini. Cinta itu terlalu indah untuk dikhianati! Malah cinta itu tidak semudah membeli ikan di pasar yang boleh dibeli bila mahu da dibuang jika sudah busuk! Mungkin kau boleh perlakukan sebegitu pada cinta orang lain tetapi tidak pada cinta abang yang terlalu agung!

Walaupun tanpa ucapan selamat tinggal, namun ku pasti kau lebih memahami dan mungkin itu juga kau dambakan selama ini. (Andai sampainya waktu, aku harus tinggalkanmu.. Akan aku berlalu bila tiba saat itu... Tak perlu kau merayu dan tak perlu menahanku... kerana yang berlaku kehendakmu!" - Apa Sebenarnya (Fauziah Latiff)). Hakikatnya cinta kita hanya tinggal kenangan. Mungkin ada insan lain yang lebih memahami hatimu. Apapun selepas ini kita tetap kawan dan mungkin paling rapat sebagai abang dan adik tidak lebih dari itu.

Untuk semua berdoalah agar aku diberikan kekuatan untuk melalui detik paling menyeksakan sekali lagi selepas tarikh 9 September 1996, 20 Januari 2003 dan 5 February 2006. Semoga tiada lagi detik menyeksakan untuk ku selepas ini. Samada cintaku selepas ini hanya untuk diriku sendiri sehingga mati atau akan menjadi milik insan lain selepas ini hanya Dia yang Maha Mengetahui. Wassalam.